BELIA PERLU MANFAAT SEPENUHNYA PENGELUARAN KHAS 10K KWSP, JANGAN SILAP LANGKAH
Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri pada 16 Mac 2022 berkenaan pengumuman pengeluaran khas RM 10,000.00 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off kepada pencarum. Pengumuman ini pastinya memberi nafas lega kepada sesetengah rakyat Malaysia yang terjejas teruk akibat Pandemik Covid-19 & bencana banjir.
Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan, keputusan ini dibuat setelah meneliti dan mempertimbangkan beberapa faktor secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, dari segi cabaran rakyat menghadapi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
MBNP berpendapat bagi golongan belia, pengumuman ini harus dimanfaatkan sebaiknya, jangan terburu-buru dalam membuat keputusan untuk mengeluarkan simpanan hari tua. Bagi menjamin pengukuhan simpanan masa depan, belia harus mempunyai pertimbangan yang tinggi dan rasional dalam pengurusan kewangan semasa samada benar-benar memerlukan atau sekadar ingin berada dalam kehidupan yang lebih bergaya atau mewah.
Dapatan fakta daripada KWSP pada tahun 2021 menunjukkan situasi ekonomi rakyat yang amat meruncing. Antaranya 200,000 orang hampir kosong simpanan mereka di KWSP, 6.24 juta ahli di bawah 55 tahun hanya ada kurang dari RM10,000 dalam Akaun 1, serta berdasarkan Purata Simpanan Kebangsaan Rakyat Malaysia, tanpa KWSP purata rakyat Malaysia yang mempunyai tabungan adalah negatif 0.5%.
Justeru itu, pencarum diingatkan agar membuat keputusan yang bijak dan wajar melibatkan simpanan KWSP. Pepatah melayu ada menyebut “Sesal Dulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tidak Berguna”.