KENYATAAN MEDIA “BELANJAWAN NEGERI PAHANG 2023: NEGERI STABIL RAKYAT SEJAHTERA

KENYATAAN MEDIA

Belanjawan Negeri Pahang 2023 : Negeri Stabil Rakyat Sejahtera

Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Kerajaan Negeri Pahang dibawah pimpinan YAB Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Bin Wan Ismail yang telah berjaya membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2023. Dengan membawa tema “Negeri Stabil Rakyat Sejahtera” sememangnya bertepatan dengan pengumuman yang mengembirakan rakyat Pahang.

Kejayaan Negeri Pahang yang berjaya mengutip mengutip hasil sebanyak 1.027 bilion ringgit berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak 1.036 bilion ringgit telah meletakkan Pahang sebaris dengan negeri-negeri maju seperti Selangor dan Johor. MBNP juga menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan menarik pelaburan berjumlah 20.56 bilion ringgit. Ini menunjukkan satu dimensi baru dalam usaha memantapkan ekonomi bagi tahun 2023.

5 Strategi belanjawan utama menjadi asas belanjawan 2023 antaranya strategi kelima yang memfokuskan “Membina Generasi Masa Depan Yang Gemilang” . Sebanyak 5 inisiatif yang telah dibentangkan dibawah strategi yang kelima ini. MBNP mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang yang sentiasa memberi fokus dan perhatian kepada keperluan pembangunan belia di negeri Pahang.

RM 375,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Intervensi Sosial, Program Youth Career, Program Webinar Youth Digital, Kursus Youth Agrotech, dan Kursus Pengurusan Organisasi dan peruntukkan sebanyak RM 1 juta untuk disalurkan melalui pelaksanaan pelbagai program dan kursus latihan untuk membangunkan belia.

Peruntukkan sebanyak RM 3 juta untuk Program Teknokrat yang meliputi aspek seperti Geran Latihan, Kursus Kemahiran dan Pembelajaran, Internet of Things dan coding, pembangunan aplikasi dan kemahiran digital serta sports cameraman merupakan bukti Kerajaan Negeri serius bagi meningkatkan taraf profesionalisme belia.

Penerusan program Pahang Talent juga suatu perkara yang harus dipuji dengan peruntukkan khas sebanyak 50 ribu Ringgit bagi membimbing dan melatih anak-anak muda negeri ini yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah untuk berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Pahang.

Kesemua inisiatif dibawah strategi 5 memberikan impak yang positif bagi pembangunan belia di negeri Pahang. MBNP juga memuji usaha kerajaan yang meningkat peruntukkan bagi pendidikan meliputi pemberian “one-off” dan biasiswa bagi anak Pahang yang ingin melanjutkan pelajaran.

Belanjawan yang terbesar dalam sejarah negeri Pahang ini telah menunjukkan kestabilan kerajaan negeri meliputi kesemua segmen rakyat. Tiada yang terkecuali mahupun yang tertinggal dalam belanjawan Pahang 2023. MBNP selaku pertubuhan belia utama negeri bersama 29 badan gabungan sentiasa bersedia bersama kerajaan negeri dalam merealisasikan hasrat dan matlamat yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

MBNP sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas pengumuman belanjawan pahang 2023. Pahang Mesra Anak Muda!

Mohd Izzat Afifi Hj Abd Hamid

Presiden

Majlis Belia Negeri Pahang

7 Oktober 2022

Kongsi artikel ini