Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) menjunjung kasih kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibn Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah atas kebijaksanaan Baginda menyelesaikan kemelut yang berlaku berkenaan penubuhan kerajaan Negeri Pahang pasca PRU-15 yang lepas.
MBNP menyeru semua parti politik dan pihak untuk menghormati titah dan perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang berkenaan penubuhan Kerajaan Negeri Pahang serta kembali memberikan fokus kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
MBNP juga ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Dato Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail yang telah dilantik semula selaku YAB Menteri Besar Pahang. MBNP penuh kepercayaan bahawa YAB Menteri Besar, YAB Dato Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail akan meneruskan kecemerlangan yang telah dilakarkan sejak 2018 lagi.
MBNP juga berharap agar Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan dilantik nanti adalah mereka yang berkemampuan, dan berkebolehan untuk memegang jawatan berkenaan. Ahli Dewan Undangan Negeri yang muda juga seharusnya diberi peluang untuk menjawat jawatan berkenaan supaya suara anak muda turut menjadi sebahagian daripada pembuat dasar dalam negeri ini.
Akhirnya, MBNP menyeru kepada semua pihak untuk kembali membulatkan tekad dan azam kepada membangunkan negeri dan negara ini.
Waktu berpolitik sudah tamat, tiba masa waktu berkhidmat!
MOHD IZZAT AFIFI BIN HJ ABDUL HAMID
PRESIDEN
MAJLIS BELIA NEGERI PAHANG