KENYATAAN MEDIA
MBM MENYOKONG KETEGASAN PM DALAM KENYATAAN DI PBB
Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong penuh kenyataaan negara yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob didalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di New York.
Kenyataan YAB Perdana Menteri kepada sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin dan menggelar Israel sebagai sebuah negara Aparteid adalah antara kenyataan yang berani, tegas, dan berprinsip yang pernah dikeluarkan oleh Malaysia.
MBM juga menyokong penuh kritikan YAB Perdana Menteri kepada kebisuan masyarakat global didalam isu Myanmar, yang juga telah memberikan kesan kepada negara jiran khususnya dengan kehadiran pelarian Rohingya yang telah mencecah 200,000 di Malaysia.
MBM mendesak ASEAN dan negara ahli ASEAN untuk mengambil langkah lebih tegas terhadap kerajaan junta Myanmar atas pencabulan hak asasi dan menafikan hak demokrasi rakyat Myanmar. Polisi tidak campur tangan yang diamalkan ASEAN tidak sepatutnya dijadikan alasan kepada segala pencabulan yang sedang berlaku di Myanmar.
Kenyataan YAB Perdana Menteri berkaitan undi Veto yang diamalkan Majlis Keselamatan PBB bukan sahaja mewakili Malaysia, malah aspirasi majoriti ahli negara PBB. Malaysia boleh dan seharusnya terus menjadi juara untuk reformasi institusi PBB dapat dilaksanakan.
Konsep Keluarga Dunia yang ditawarkan oleh YAB Perdana Menteri kepada dunia juga inisiatif yang seharusnya disokong dan diperkembangkan. MBM mencadangkan idea Keluarga Dunia ini diinstitusikan sepertimana yang pernah dilaksanakan dengan kewujudan Pergerakan Kesederhanaan Global.
Kenyataan tegas dan berprinsip yang dibawakan oleh YAB Perdana Menteri diharapkan akan terus meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati diperingkat global serta serantau.
Belia Malaysia bersama Negara!
MOHD IZZAT AFIFI ABDUL HAMID
PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA
Tarikh: 24 September 2022